29 Julai, 2010

Salim Sport anjur kejohanan terbesar

Salim Sport anjur kejohanan terbesar

SUNGAI PETANI- Salim Sport yang julung kali menganjurkan Kejohanan Sepak Raga Tuju Piala Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) 2010, tidak menyangka sebanyak 80 pasukan berkumpul menyertai kejohanan berkenaan.

Pengerusi Eksekutif Salim Sport Sdn Bhd, Datuk Mohd Salim Abd Bari berkata, pasukan yang menyertai kejohanan julung kali diadakan pihaknya bersama MPSPK dan Tesco Sungai Petani Selatan itu, di luar jangkaan.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya hanya menganjurkan karnival sepak raga tuju, namun kali ini mereka menganjurkan kejohanan bagi mengumpul peminat sukan tradisional masyarakat Melayu itu.

“Pasukan yang menyertai kejohanan ini datang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan sebagainya dan membawa pasukan masing-masing seawal jam 8 pagi berhimpun di tingkat satu, tempat letak kereta Tesco Sungai Petani Selatan.

“Sukan ini popular dalam kalangan rakyat, dan bebas untuk dimainkan tanpa perlu ada gelanggang dan sebagainya. Kejohanan ini adalah salah satu cara mempromosikan acara sukan ini agar dapat diberikan perhatian hingga tahap antarabangsa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Salim berkata, hadiah keseluruhan yang ditawarkan kepada pemenang kejohanan adalah RM5,000 dan beliau berterima kasih kepada pihak yang sudi bekerjasama menjayakan kejohanan ini.

Seorang peserta yang mahu dikenali sebagai Sham, 32, berkata, kejohanan yang dianjurkan Salim Sports ini adalah kejohanan terbesar di utara dan pasukannya tidak mahu melepaskan peluang menyertainya.

“Hadiah yang ditawarkan juga lumayan dan ini kali pertama kejohanan sepak raga tuju diadakan, di sini. Sebelum ini kami hanya bermain sendirian dan menyertai karnival sepak raga tuju sahaja.

“Saya berharap, penganjur mengambil inisiatif untuk menganjurkannya setiap tahun untuk menghimpunkan peminat sepak raga tuju di bawah satu bumbung,” katanya kepada Sinar Harian.
©2010 | Hak Cipta Terpelihara Akhbar Cabaran Sdn Bhd


1 ulasan:

http://www.exclusivemails.net/pages/index.php?refid=wanbotak

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...